Detik-detik masa berlalu dengan pantas. Jam yang telah ditetapkan sememangnya tidak mencukupi. Skrip di tangan Nadim sudah beberapa kali diselaknya. Mulutnya terkumat-kamit menghafal dialog bagi wataknya. Tanggal 21 Mac sudah tidak lama lagi. Di atas pentas Panggung Seni itu kelihatan pelajar-pelajar yang sibuk menyiapkan kerja masing-masing. Rubi, Ili dan Sya yang duduk di atas tangga pentas itu begitu bising berceloteh, namun tangan mereka tetap ligat menjahit baju para pelakon untuk pementasan teater yang bakal tiba itu. Sutradara mereka pula begitu sibuk memberi arahan dan tunjuk ajar pada anak-anak buahnya.
“Kenapa kamu semua blocking kat sini?”. Sutradara itu segera mengarahkan sebahagian para pelakonnya mengalihkan posisi di sudut kanan pula. Dia berbuat demikian agar pentas itu ‘seimbang’ dan tidak tertumpu pada satu bahagian sahaja. Set pentas itu yang belum lagi siap sepenuhnya, telah menjadi agak berselerak dek latihan yang dijalankan. Sutaradara itu kemudian menjerit memanggil Nadim. Nadim tersentak daripada hafalannya. Giliran babaknya pula sudah tiba. Nasib baik dialog sudah kuhafal. Argh, cepatnya masa berlalu. Sebelum menjejakkan kaki di atas set pentas tersebut, dia sempat mengerling ke arah sutradara yang begitu serius riak wajahnya. Beberapa orang produksi set pentas sibuk bertukang menyiapkan pagar kayu. Latihan yang dijalankan di set itu tidak mereka endahkan. Yang penting sekali kerja siap. Belum pun sempat Nadim menjejakkan langkah ke set pentas itu, sutradara mereka itu melaung memanggil namanya semula. Nadim berpaling. Sutaradara itu membuka mulutnya untuk berkata sesuatu tetapi dia terhenti. Kemudian berfikir sambil mulutnya masih ternganga.
“Nanti ada satu babak kau kena bersilat”. Kini giliran Nadim pula yang ternganga. Wajahnya pada ketika itu seperti melihat kucing hitam bertanduk yang sedang menyeringai dan bila-bila masa sahaja akan menerkamnya. Terkejut bercampur takut. Dunianya yang sebentar tadi dipenuhi dengan pelbagai warna pancara cahaya, secara tiba-tiba menjadi gelap-gelita dan dunia menjadi semakin sempit. Udara berkurangan, nafas menjadi sesak. Begitulah perasaanya pada ketika itu.
------------------------------------------------------
Berlawan, berkawad, bersukan, merupakan perkara yang tidak digemari Nadim. Dia tidak suka aktiviti yang boleh mencederakan dirinya sendiri. Bukanlah bermakna dia seorang yang ‘lembut’, tetapi dia lebih kepada seorang yang lembik. Dia akui badannya lemah. Mungkin sebab itu dia tidak suka akan aktiviti lasak. Kini, tiba-tiba watak yang perlu dilakonkan itu, daripada seorang budak kampung biasa, tiba-tiba perlu bersilat dan berlawan di atas pentas itu pula. Inilah teater, apa yang tertera di atas skrip itu, boleh berubah pada bila-bila masa sahaja. 15 minit sebelum persembahan pun pastinya ada perubahan yang dilakukan oleh sutradara. Apa yang lebih menyedihkan, sutradara itu menyuruhnya untuk mencari sendiri gerakan silat itu. Sudahlah begitu arahannya, dengan siapa yang dia perlu berlawan pun, sutradara itu tidak pasti lagi.
Dia tiba lebih awal pada hari ini. Suasana di dalam Panggung Seni itu sangat sunyi. Cuma sesekali kedengaran tawa daripada kelab kebudayaan lain yang turut mengadakan aktiviti di situ. Dia mendapat tahu ahli-ahli silat seringkali mengadakan latihan pada setiap hari Rabu. Dia mengambil keputusan untuk meminta pertolongan daripada mana-mana ahli persilatan Melayu di Universiti itu. Hendak tak hendak terpaksalah menebalkan muka.
Kemudian, dia terdengar bunyi seperti orang sedang berlatih bersilat. Dia mencari bunyi itu. Bunyi itu seakan berada di tingkat atas. Nadim mengerutkan dahinya kehairanan. Pada firasatnya, mustahil orang berlatih silat di tingkat atas kerana sempit. Kakinya mengatur langkah menuju ke tingkat atas. Lorong tangga itu agak gelap dek lampu yang tidak dipasang. Berbekalkan hanya lampu jalan daripada luar sahaja. Dia semakin menghampiri suara orang yang sedang berlatih bersilat itu.
Kakinya terhenti pabila dia sedang melihat seorang tua yang sedang berlatih bersilat bersendirian. Matanya terkebil-kebil memandang orang tua itu. Kenapa dia berlatih seorang diri di tempat yang sempit ini. Lelaki tua itu berhenti daripada latihannya. Dia berpaling memandang Nadim. Nadim terkedu. Dia agak menggelabah pabila dirinya ditenung oleh orang tua itu. Orang tua itu mengangkat tangannya sedikit, seolah-olah mengajak dirinya berlawan. Nadim terkedip-kedip memandang orang tua itu. Namun, kakinya tetap datang menghampiri. Tiba-tiba orang tua itu
menghayunkan tangannya untuk memukul Nadim. Nadim tergamam dan matanya terbeliak. Dia hanya mampu berdiri kaku sahaja. Tangan orang tua itu terhenti betul-betul di sebelah kiri mukanya. Jantungnya hampir berhenti berdegup dek terkejut. Orang tua itu kembali ke posisi berdirinya.
“Seorang pemuda Melayu patut belajar silat asal-usulnya. Adakah kau seorang pemuda Melayu yang sudah lupa asal-usulnya?”. Nadim terkejut mendengar pertanyaan orang tua itu. Dia tidak tahu apa yang perlu dijawabnya. Melihat Nadim berdiam diri, orang tua itu memulakan gerakannya.
“Siap bersedia kaki dan tanganmu, kita akan bina tapak gayong. Bermula dengan latihan senaman anak harimau. Buka capalmu”. Walaupun Nadim tidak faham sepatah kata pun, badannya tetap menuruti kata orang tua itu. Bagaikan dirinya dipukau seliparnya ditanggalkan.
-----------------------------------------------------------------------
Latihan teater seperti biasa dijalankan. Kebiasannya mereka akan berlatih pada waktu malam sehinggalah ke pagi kira-kira pukul 3. Begitulah rutin seharian mereka memandangkan hari pementasan bakal menjelang. Malam itu terasa bahang. Bulan tidak menunjukkan diri, bintang pula tiada menghiasi dada langit. Langit kelihatan begitu hitam dan gelap. Nadim memandang kosong melihat rakan-rakannya sedang menyiapkan kerja. Fikirannnya melayang pada peristiwa malam tadi. Orang tua yang dipanggilnya Tok Tuah itu, mengajarnya silat yang tidak diketahui namanya, sehingga ke pagi subuh. Dia lupa untuk bertanya silat apa yang sedang dipelajarinya. Dia akui dia agak kebaratan. Lagu Melayu pun tidak dia jadikan sebagai halwa telinganya. Cerita Melayu lagilah. Apatah lagi silat. Dia hanya tahu silat ada bermacam jenis, tapi dia tidak tahu nama-nama silat tersebut. Badannya masih lagi terasa kepenatan.
“Nadim!!!!”. Nadim terkejut. Badan Nadim terhenjut sedikit. Hatinya terasa panas memikirkan sutaradara mereka yang sering menjerit. Dia menyumpah-nyumpah di dalam hati. Pada malam ini, mereka akan berlatih bermula dengan babak dia berlawan. Dengan siapa, dia tidak tahu pula. Bagaikan tahu apa yang bermain di fikiran Nadim, sutaradara itu memperkenalkan Nadim dengan seorang lelaki yang tinggi dan gagah. Lelaki yang bernama Jef itu merupakan seorang pesilat. Tanpa berlengah, mereka berdua pun memulakan langkah masing-masing. Mereka berdua memandang antara satu sama lain dengan penuh bersemangat. Babak lakonan ini seolah-olah bukan lakonan. Secara tiba-tiba Jef, dengan kepantasan serangan kakinya pun mula mengasak. Setelah beberapa serangan berjaya Nadim elakkan, barulah Nadim bertindak. Nadim telah melepaskan satu pukulan tangan iaitu Kipas Nandung dengan tepat mengenai rusuk Jep. Jep tersungkur. Dia menggelupur kesakitan. Nadim tergamam. Malah semua orang tergamam dan terhenti daripada membuat kerja mereka. Apatah lagi, mereka semua kenali akan Nadim yang sememangnya seorang yang lemah dan tidak tahu langsung mengenai silat.
“Apa yang kau dah buat?”. Tiba-tiba seorang lelaki yang dalam lingkungan 50-an itu, meluru berlari mendekati Jep. Lelaki itu memandang marah pada Nadim. Nadim masih lagi tergamam. Dia sendiri keliru dengan apa yang telah dia lakukannya. Sesungguhnya dia tidak berapa ingat akan ajaran Tok Tuah itu, tetapi badannya seolah-olah ingat akan ajaran Tok Tuah. Dia sendiri tidak ingat gerakan apa yang telah dia lakukan sebentar tadi.
Semua orang sekadar melihat lelaki itu yang sedang mengubati Jef. Lelaki itu sedang memegang mangkuk yang diisi air itu, sambil mulutnya terkumat-kamit. Kemudian, dia menyapukan air tersebut ke kawasan yang Jef berasa sakit. Setelah selesai, lelaki itu memandang Nadim dan menyuruhnya keluar kerana dia hendak berkata sesuatu. Jantung Nadim berdegup kencang. Setelah meminta maaf berkali-kali dengan Jef, Nadim pun melangkah keluar.
Di luar Panggung Seni, Lelaki itu sedang berdiri tegak. Dengan rasa agak takut, Nadim menghampiri lelaki itu. Lelaki itu berpaling memandangnya.
“Dari mana kau belajar gerakan itu?”. Nadim menelan air liurnya.
“ Daripada ketua silat di sini”. Sebenarnya itu adalah agakannya sahaja. Tok Tuah tidak pernah mengakui dirinya ketua silat. Pada sangkaannya orang tua yang hebat dalam silat dan berlatih bersilat di Panggung Seni, pastilah seorang ketua silat.
“Apa yang kau merepek. Aku adalah ketua silat di sini. Kau jangan nak menipu”. Dengan pantas Nadim menggelengkan kepalanya. Tangannya sudah dibasahi peluh.
“Kau tau apa yang kau telah lakukan dengan Jep itu?”. Nadim menggelengkan kepalanya.
“Saya memang tak tahu bersilat. Cuma, malam tadi ada Tok Tuah yang mengajar saya”, akhirnya Nadim menceritakan semuanya. Manakala lelaki itu pula kelihatan terkejut mendengar cerita Nadim itu.
-------------------------------------------------------------------------
Pada malam itu juga, Nadim tiba lebih awal seperti biasa. Semata-mata untuk berjumpa dengan Tok Tuah. Fikirannya melayang pada lelaki semalam yang dipanggil En. Meor. Selepas dia bercerita kepada En. Meor semalam, En. Meor itu tidak memberikan sebarang reaksi. Cuma riak wajahnya sahaja yang kelihatan terkejut. Malah, En.Meor itu terus sahaja meninggalkannya sebaik sahaja dia selesai bercerita. Kakinya tetap mengorak langkah menuju ke tingkat atas. Seperti biasa, lorong tangga itu gelap tiada lampu yang dipasang. Berbekalkan cahaya bulan yang menggantikan peranan sebagai penyuluh cahaya kalimantang, Nadim berhati-hati menjejakkan kakinya menuruti tapak tangga itu.
Kini, dia sudah tiba di tingkat atas Panggung Seni itu. Sebenarnya terdapat bilik latihan untuk kelab pemain kompang dan kelab dikir barat, tetapi sudah lama tidak digunakan. Berikutan, mereka lebih gemar berlatih di bawah. Seperti mana sangkaannya, Tok Tuah ada di situ. Dia sedang duduk bersila seperti orang yang sedang bertapa. Nadim menanggalkan seliparnya. Dia duduk bersilat berhadapan dengan Tok Tuah. Nadim memandang wajahnya yang mempunyai banyak kedutan-kedutan usia yang sudah banyak menjalani pelbagai pengalaman hidup. Janggutnya yang agak panjang sedikit tetapi diwarnai dengan warna putih. Begitu juga dengan rambutnya yang diikat kemas. Tanjaknya yang tersergam indah di atas kepala Tok Tuah. Meski pun Tok Tuah ini sudah berusia, tetapi badannya masih tegap ibarat seorang pemuda.
“Siapa Tok Tuah sebenarnya?”, Nadim memecahkan kesunyian yang menyelubung antara mereka berdua. Tok Tuah membuka matanya.
“Apakah asal-usulku ini lebih penting daripada kedudukanku sebagai tok gurumu yang mengajarmu ilmu persilatan”. Agak kuat dan bergema suara Tok Tuah memenuhi ruang di atas itu. Nadim tertunduk.
“Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang di kaki;
Berguru kepalang ajar,
Alamat binasa badan sendiri.
Mendaki gunung meredah lurah,
Mencari ramuan pengubat hati;
Ilmu GAYONG bukannya mudah,
Seni turunan wali kesakti”
Pada ketika itu baru Nadim sedar. Ilmu persilatan yang dia sedang belajar itu merupakan silat Gayong. Namun dia terasa ganjil. Seolah-olah ajaran yang diperturunkan kepadanya, semua ilmu silat Gayong. Agaklah mustahil berbekalkan satu malam sahaja dia dapat menguasai ilmu silat Gayong sepenuhnya. Namun, pabila dia memikirkan reaksi En.Meor itu, seolah-olah serangan yang dilancarkan terhadap Jef itu, satu gerakan yang tinggi. Nadim tersentak dari dunianya, pabila Tok Tuah menyebut namanya. Tok Tuah memberikan nasihat padanya agar dia menggunakan ilmu persilatan tersebut sebaik-baiknya. “berlawanlah dalam keadaan sedar dan bukan separuh sedar”. Setiap langkah dan gerakan, dia seharusnya berlatih setiap hari agar dia dapat mengawal pergerakan tubuh badannya. Meski pun, agak kepelikkan mendengar kata-kata Tok Tuah itu, namun dia dapat memahaminya sedikit.
Setelah selesai memberi nasihatnya pada Nadim, Tok Tuah mengambil sesuatu dari belakangnya. Dia memegang benda itu dengan kedua-dua belah tangannya. Benda yang berbentuk panjang dan diselubungi dengan kain batik itu, Tok Tuah menghulurkan pada Nadim. Nadim teragak-agak untuk mengambilnya. Benda yang panjang itu berada di tapak tangannya kini. Nadim membelek benda tersebut. Dia membuka balutan kain batik tersebut. Rupa-rupanya benda tersebut adalah keris!
“Kau mesti simpan keris Pendawa Lima ini baik-baik. Seorang pemuda Melayu adalah lambang penyatuan bangsa Melayu. Runtuhnya pemuda Melayu, runtuhlah bangsa Melayu. Kau mesti ingat pesananku ini”. Nadim menganggukkan kepalanya dengan bersemangat. Segala nasihat dan tunjuk ajar Tok Guru itu akan bukan sahaja disimpan, malah akan digunakannya untuk kepentingan masyarakat sebangsanya.
“Jangan ditepuk susu di dulang,
Anak harimau tak dapat menyusu,
Janganlah pecah rahsia hulubalang,
Nanti harimau hilang kuku.
Jikalau ada dulang di tangan,
Jangan biar jatuh terhempas,
Jikalau ada senjata di tangan,
Jangan biar orang rampas.”
------------------------------------------------------------------
En. Meor memerhatikan Nadim yang baru sahaja keluar daripada lorong tangga itu. Dia menyorokkan dirinya agar tidak dilihat oleh Nadim. Dia mengerutkan dahinya kehairanan. Apakah yang Nadim lakukan di tingkat atas yang tiada orang itu. En. Meor mengambil keputusan untuk menjenguk ke tingkat atas.
Sebaik sahaja dia tiba di atas tingkat atas itu, tiada apa yang menarik yang berada di atas itu. sekadar bilik-bilik kosong. Matanya melilau mencari sesuatu. Namun, tiada apa pun di situ. Dia mengerutkan dahinya kembali.
PENDAWA LIMA
Wednesday, October 21, 2009
Posted by Rina Rossoneri at 11:05 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
sampai ctu je ke cite dia..
ngeeeeeeeeeeeee
Post a Comment