“Ala, bolehlah saya nak tanya sikit je”, ujar Nyet sedaya upaya memujuk Mak Nyah itu. Riak wajahnya jelas menunjukkan dirinya kurang selesa. Dia menjarakkan sedikit demi sedikit dari Nyet. Nyet pula sedikit demi sedikit menghampiri Mak Nyah itu. Matanya tidak keruan memandang ke kiri dan kanan. Seolah-olah seperti ada orang yang sedang mengejarnya. Nyet memandangnya dengan penuh harapan.
Di satu sudut pula, Meow resah menanti. Apatah lagi dengan kereta yang beratur panjang menyusur perlahan di lorong Haji Taib itu. Walaupun jarum jam pendek menunjuk ke angka satu, namun keadaan di situ tidak menunjukkan hari sudah larut malam. Meow menjadi semakin tidak keruan apabila melihat reaksi Mak Nyah itu yang enggan bekerjasama. Kalau macam ni lah gayanya, sampai subuh pun tak habis. Rungut Meow di dalam hati. Apatah lagi dia keseorangan di situ, ditambah pula dengan usikan-usikan mereka yang sedang memandu perlahan di lorong itu. Hal ini ekoran terlalu banyak kereta yang melalui jalan itu. Aku tahulah aku hot. Meow menjeling tajam ke arah mereka yang mengusiknya itu dan berlalu pergi menuju ke arah Nyet dan Mak Nyah itu. Mak Nyah itu yang menyedari Meow sedang berjalan menuju ke arahnya, mengerling pada Meow. Tumpuannya tidak lagi pada Nyet. Nyet yang menyedari hal itu berpaling mengikut ekor mata Mak Nyah itu.
Meow menunjukkan jam tangan pada Nyet memberi isyarat bahawa sudah sampai masanya untuk mereka beredar dari tempat itu. Nyet menunjukkan riak tidak puas hati. Dia memberi isyarat mata menunjuk ke arah Mak Nyah itu. Isyarat yang membawa maksud temu bual tersebut tidak berjalan lancar. Apabila Meow sudah semakin dekat menghampiri mereka berdua, Nyet pantas menarik tangan Meow. Meow terkejut.
“Kenalkan ini kawan saya. Kami panggil dia Meow”, kata Nyet dengan penuh mesra sambil menarik tangan Meow untuk bersalaman dengan Mak Nyah tersebut. Meow yang masih terkejut itu membesarkan lagi matanya sambil menyumpah di dalam hatinya. Mak Nyah itu tidak melepaskan peluangnya untuk menyambut tangan Meow yang gagah itu. Dia tersenyum simpul. Malu. Meow menyengetkan mulut. Geli melihat reaksi Mak Nyah tersebut.
Nyet tersengih menahan kegelian hatinya. Dia sudah dapat mengagak Mak Nyah ini pasti suka dengan Meow. Wajah Meow yang mempunyai iras ala-ala pelakon Hindustan, dengan bulu matanya yang lentik dan lebat, ditambah pula dia sememangnya berketurunan arab. Walaupun badannya agak berisi, namun disebabkan wajahnya yang agak komersial itu, sudah pastinya akan menarik perhatian Mak Nyah itu.
“Nama I Angelisha”, ujar Angelisha, Mak Nyah itu dengan mesra. Nyet mengambil peluang tersebut untuk meneruskan temu bualnya apabila melihat Angelisha yang tidak lagi bersikap dingin.
“Apakah ciri-ciri lelaki idaman U ?”. Angelisha ketawa kecil apabila mendengar soalan yang diajukan Nyet itu.
“Mestilah macam dia, gagah”, jawab Angelisha sambil jari-jemarinya mengusik manja lengan Meow. Meow berpaling ke arahku sambil matanya dibulatkan dan mulutnya terkumat-kamit menyumpahku.
“OMG, Jeherioh”, secara tiba-tiba Angelisha menjerit kecil. Nyet dan Meow segera berpaling ke arah sekumpulan lelaki yang sedang menuju ke arah mereka dalam keadaan berjalan terhuyung-hayang itu. Lelaki-lelaki India yang sedang mabuk itu menjerit-jerit di dalam bahasa mereka. Nyet memandang kembali pada Angelisha. Namun, Angelisha tiada di sisi mereka. Nyet ternganga. Kemudian, terdengar bunyi dentuman pintu besi yang tidak jauh daripada mereka. Rupanya Angelisha sudah pun melarikan diri masuk ke dalam ‘rumahnya’. Nyet dan Meow memandang antara satu sama lain. Alamak, macam mana ni. Mak Nyah lari, Pak Mabuk pula mari. Tanpa membuang masa, mereka berdua mula mengangkat kaki melarikan diri. Sipi-sipi mereka terdengar lelaki-lelaki mabuk itu menjerit-jerit seperti memanggil mereka. Tanpa mempedulikan jeritan itu, mereka berdua mempercepatkan langkah menuju ke kereta Ayam.
Ayam dan Badak yang dapat melihat Nyet dan Meow kelam-kabut berlari itu, mengerutkan dahi mereka. Ayam memandang Badak di sebelah tempat duduk pemandunya itu. Badak memandang Ayam kembali. Tawa mereka meledak. Mereka memandang kembali ke arah mereka berdua yang berlari dengan penuh cemas. Badan Meow yang berisi itu, berlaga-laga lemaknya, menambahkan lagi gelak tawa Ayam dan Badak di dalam kereta Perdana itu.
-------------------------------------------------------------------------------
Nyet membuka matanya perlahan-lahan. Kipas di siling itu berputar dengan ligatnya memberi udara yang sejuk di dalam bilik itu. Nyet meletakkan belakang telapak tangannya di dahi. Dia cuba merasa suhu badannya. Panas. Dia mengeluh. Kepalanya terasa berat. Dia memandang ke arah meja yang berada di depan tingkap itu. Badannya terasa lemah dan tidak berdaya untuk bangun mengambil panadol di atas meja tersebut. Dia sekadar memandang, tetapi fikirannya sudah pun melayang. Melayang pada kenangan dua minggu yang lalu iaitu ketika dia mula untuk mengumpul data bagi latihan ilmiahnya. Walaupun perit untuk mendapatkan data, tetapi itu merupakan suatu kenangan yang manis. Dia terpaksa mengheret tiga orang rakannya untuk menemaninya. Termasuklah seorang rakan lelakinya iaitu Meow. Walaupun terpaksa disogok dengan KFC selama sebulan, tetapi dia tidak kisah.
Kelompok yang hendak dikajinya ialah Mak Nyah. Kelompok ini masih lagi dipandang negatif oleh masyarakat. Mungkin kerana kebanyakkan pekerjaan mereka adalah sebagai pekerja seks. Namun, bukan mereka tidak mahu mencari pekerjaan lain, tetapi sikap masyarakat yang tidak memberi peluang kepada mereka untuk mencari nafkah. Jika dilihat pada kajian Kementerian Kebajikan Masyarakat Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, sebanyak 60% daripada mereka di Kuala Lumpur ini menghadapi masalah mencari pekerjaan. Apabila Nyet melihat faktor-faktor ini, menyebabkan dia berasa tertarik untuk mengkajinya. Apatah lagi apabila dia teringat kejadian Mak Nyah tersebut yang diganggu oleh bapa-bapa ayam di situ. Jeherioh merupakan gelaran yang diberi untuk bapa-bapa ayam tersebut.
Kepalanya berdenyut. Dia mengerutkan dahinya menahan sakit. Dia cuba menggagahi dirnya untuk bangun. Akhirnya dia berjaya bangkit dari baringannya. Dia duduk di atas katilnya. Dia cuba untuk berdiri. Namun, hanya untuk beberapa saat. Kemudian dia terjelepok.
-------------------------------------------------------------------------------
Nyet mengerling jam tangannya yang berwarna pink itu. Jam menunjukkan pukul 230 pagi. Sudah lima minit Nyet dan Meow menanti. Penantian yang sungguh menyakitkan hati mereka berdua adalah menanti Ayam dan Badak berhenti mentertawakan mereka. Tawa mereka semakin menjadi apabila Meow menceritakan kejadian yang menyebabkan mereka berdua melarikan diri. Bagi mereka kejadian tersebut merupakan sesuatu yang amat menggelikan hati mereka. Badak menyatakan bahawa tiada sebab untuk mereka berdua melarikan diri kerana lelaki-lelaki mabuk itu tidak mengejar mereka, malah mereka berjalan pun tidak betul apatah lagi berlari. Bagi Nyet dan Meow pula, mereka berdua tidak faham situasi sebenar dan tidak mengalaminya.
Nyet memandang simpati pada Meow. Disebabkan dirinyalah Meow ditertawakan mereka. Walaupun, dia tahu Meow tidak akan mengambil hati akan perkara tersebut. Mereka berempat sudah lama berkawan sejak di bangku sekolah menengah lagi. Meski pun, masing-masing membawa haluan sendiri dalam mencari ilmu dan nafkah, namun persahabatan mereka masih kukuh. Nyet kini merupakan pelajar tahun akhir dan kini sedang membuat tesis mengenai slanga dalam kalangan Mak Nyah. Disebabkan tesisnya itulah, mereka berempat tersangkut di lorong Haji Taib itu. Menurut bancian pada tahun 1991, terdapat 10,000 Mak Nyah di Malaysia dan Mak Nyah di Kuala Lumpur ini hanya meliputi sebahagian kecil sahaja. Namun, sudah cukup untuk menyeksa Nyet membuat kajian ini.
“ Udah-udah la tu gelak. Kau tu dah lah pandu kereta ni, Yam. Nanti ada yang kita berempat tak sempat kahwin kang”, ujar Nyet sedikit bengang melihat gelagat mereka berdua.
“Ini semua kau punya pasallah Nyet. Dahlah Mak Nyah tu nak goda aku”, Meow menyalahkan Nyet. Nyet meruncing tajam matanya memandang Meow. Geram apabila dipersalahkan walaupun itu adalah hakikatnya. Nyet menjelirkan lidahnya.
“Ada aku kisah”, sambil menepuk tangannya bersama Badak seperti bermain tepuk amai-amai tetapi dilagukan dengan ‘cak cak cak’. Lalu mereka bertiga tertawa bersama. Meow menarik muka masam dan memeluk tubuhnya. Dia memandang ke luar tingkap. Tiba-tiba Ayam memberhentikan keretanya. Ayam dan badak tersenyum sinis. Badak mengangkat keningnya memberi isyarat pada Ayam. Wajah Meow yang masam sebenatar tadi berubah ceria. Dia tahu masanya sudah tiba. Meow menutup mulutnya menahan tawa. Nyet kehairanan.
“Kat sini ada gak port Mak Nya. Kau turunlah”, suruh Badak. Nyet mengangguk walaupun dalam fikirannya agak kekaburan. Dia membuka pintu dan kakinya melangkah keluar. Dia bingkas dan memandang ke tepi jalan tempat mereka berhenti itu. Dia melangkah sedikit beberapa tapak ke hadapan. Cuba mencari kebenaran tempat Mak Nyah di situ. Tiba-tiba pintu kereta Perdana milik ayah Ayam itu tertutup. Pantas Nyet berpaling. Kereta Perdana tersebut dengan lajunya menyusur ke depan meninggalkan Nyet. Nyet terkedu. Mulutnya ternganga sambil tangannya menunjuk ke arah kereta yang dipandu Ayam itu. Dia kaku buat seketika. Orang di sekelilingnya mulai memandangnya. Pelik melihat diri Nyet yang kaku seperti tugu bersejarah di situ. Matanya terkelip-kelip memandang kereta Perdana itu yang semakin lama semakin kelam ditelan kegelapan malam. Gila ah! Biar betul dorang ni tinggalkan aku sorang-sorang kat sini. Kalau marahkan aku sebab suruh temankan pun, janganlah kejam macam ni. Biar betul!!!. Wajah Nyet jelas mempamerkan kemarahannya. Pada bila-bila masa sahaja lava gunung berapi ini akan melimpah keluar.
“Hai, sorang je?”, usik salah seorang pemuda di situ. Nyet tersentak. Dia memandang wajah pemuda itu. Matanya yang bundar itu terkebil-kebil memandang lelaki yang berkulit hitam manis dipenuhi dengan jerawat di wajahnya. Bahang lavanya sebentar tadi mulai malap. Nyet mula berasa tidak selamat, lantas berlalu meninggalkan pemuda itu. Langkahnya dipercepatkan sambil matanya merayau melihat keadaan di sekelilingnya. Sesungguhnya dia tidak begitu pasti di mana dia berada kini. Yang pasti di tepi jalan itu berderetan kelab-kelab malam. Gelagat manusia yang berfikiran kurang waras dek tegukan arak itu, terhuyung-hayang berjalan tanpa arah sambil memekak membebel tentang sesuatu.
Mata Nyet menangkap sesuatu. Sekumpulan gadis cantik seperti model berpakaian seksi seolah-olah mereka berada di MTV Awards. Mereka semuanya mempunyai ketinggian enam kaki lebih. Namun, sayangnya, mereka merupakan wanita yang tidak tulen. Tiba-tiba mereka memandang Nyet. Nyet kehairanan. Nyet memalingkan kepalanya ke belakang. Dorang pandang sape? Nyet memandang kembali ke depan. ‘Gadis-gadis model’ itu bercakap antara satu sama lain sambil memandang-mandang ke arah Nyet. Nyet mula resah. Bimbang jika sesuatu berlaku ke atas dirinya. Apatah lagi dia seorang perempuan dan mereka pula lelaki walaupun tidak berpenampilan sebegitu. Salah seorang daripada mereka maju ke hadapan. Dia melangkah menghampiri Nyet. Nyet semakin tidak keruan. Kakinya yang panjang dan licin kulitnya itu, disusun atur, tangannya di letak ke belakang dan semakin lama semakin mendekati Nyet. Nyet kaku di situ. Kini, dia berada di hadapan Nyet. Dia tersenyum.
“Selamat hari jadi!!”, laung ‘gadis model’ berkaki panjang itu. Manakala rakan-rakannya yang berada di belakang sebentar tadi, sudah pun berada menghampiri mereka berdua. Sejak bila mereka berada di situ, tidak pula disedari oleh Nyet. Nyet terpinga-pinga. ‘Gadis-gadis model’ yang lain turut melaungkan selamat hari jadi kepada Nyet. Salah seorang ‘gadis model’ itu membawa kek harijadi Nyet. Nyet ternganga. Sememangnya dia sangat terkejut kini. Bukan itu sahaja, dia juga tidak faham apa yang sedang berlaku.
“Happy birthday to you, happy birthday to you, happy birthday to Nyet, happy birthday to you”, nyanyi mereka secara beramai-ramai. Ayam, Badak, Meow, malah Beruang dan Cicak yang entah dari mana munculnya turut ikut menyanyi bersama. Namun, lagu selamat hari jadi itu tidak terhenti setakat itu sahaja.
“You are born in the zoo, like a monkey always be a monkey, happy birthday to you, happy birthday to you”, Ayam, Badak, Meow, Beruang dan Cicak menyambung nyanyian itu bersama-sama. Mereka yang berada di situ menepuk tangan mereka dengan gemuruhnya. Sementara Nyet pula, masih kaku dan tiada reaksi. Mereka semua berhenti menepuk tangan. Masing-masing secara spontan senyap menantikan reaksi Nyet yang masih di tahap kosong itu. Secara tiba-tiba Nyet menjerit.
“YOU ARE SO BAD!!!! I HATE YOU!!!!!!!”. Meledak tawa mereka yang berada di situ apabila melihat reaksi terkejut Nyet itu. Rakan-rakan Nyet pula ketawa terbahak-bahak sehingga menitis air mata mereka melihat Nyet yang masih menyumpah-nyumpah mereka.
---------------------------------------------------------------------------
Mata Nyet masih lagi memandang siling biliknya. Dia sudah tidak mampu untuk bangun berdiri. Badannya panas. Kepalanya berdenyut. Tekaknya terasa loya. Adakah dia dijangkiti H1N1 iaitu sejenis virus baru yang kini sedang giat menular melalui saluran pernafasan. Virus ini diberi nama mengikut struktur protein di permukaan kapsul virus, iaitu gemaglutinin (H) dan neuraminidase (N). Ciri H dan N ini menentukan tahap bahaya variasi virus tersebut. Daripada 16 jenis protein H dan sembilan protein N, hanya H 1,2,3 serta N 1 dan 2 yang biasa ditemui pada virus yang menyerang manusia. Virus ini juga masih tidak ada vaksinnya. Dia masih belum pergi ke pusat kesihatan universitinya. Dia fikir mahu pergi pagi tadi, tetapi dia tidak bermaya pula.
Nyet membetulkan baringannya. Kini dia meniarap pula. Kepalanya diletok ke kiri. Matanya memandang ke arah meja yang hanya dua tapak di hadapannya. Dia menutup matanya. Fikirannya melayang lagi.
Hari jadinya pada tahun ini amat bermakna bagi dirinya. Dia tidak menyangka rakan-rakannya membuat kejutan yang begitu tidak menjangkakan dan juga pelik. Mana tak peliknya, dengan Mak Nyah-Mak Nyah sekali sambut harijadi aku. Dia masih ingat lagi kek coklat yang dicorakkan dengan lambang kelab bola sepak terkenal, Ac Milan yang merupakan kelab bola sepak kegemarannya. Beruang dan Cicak juga turut datang meraikannya. Rupa-rupanya Beruang membawa keretanya tetapi menyembunyikan diri. Kerinduan mula meresapi ke dalam jiwa Nyet. Dia mulai rindu pada kawan-kawannya. Dia juga berasa sunyi, apatah lagi kini dia kesakitan keseorangan. Tiba-tiba nafasnya sesak. Kepalanya berdenyut kembali.
“Sara, kau ada dalam bilik tak?”, tiba-tiba kedengaran suara di luar biliknya. Nyet atau pun nama sebenarnya Ros Maisara, memandang pintu biliknya. Dia bersuara cuba menyahut kembali. Namun, dia sendiri tidak tahu sama ada rakannya itu dapat mendengarnya atau pun tidak. Dia mengengsot ke pintu. Kakinya menendang pintu biliknya. Dia bersuara memanggil rakannya. Suaranya semakin lama semakin perlahan. Lemah dan tidak bermaya. Matanya perlahan terkatup. Yang pasti, kedengaran bunyi kad diselupkan untuk membuka pintu.
TAMAT
Nyet dan...
Tuesday, August 25, 2009
Posted by Rina Rossoneri at 10:25 PM 4 comments
welcome
sebelum ni memang ada cerita di post kan...tapi di simpan utk dibuat penyelenggaraan...hehe...skrg ni akan dipaparkan cerita terbaru...
Posted by Rina Rossoneri at 10:24 PM 1 comments
Subscribe to:
Posts (Atom)